Teks : Azne Omar
Foto : Koleksi Peribadi Azne Omar
Seorang kanak-kanak perempuan yang bercita-cita tinggi mahu melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan sejak di bangku sekolah menengah lagi, terkesan dengan cara didikan kedua-dua ibubapa yang bekerja dalam latar belakang perubatan.
Di rumah, mama dan bapa sering mengaplikasikan gaya hidup pengamal kesihatan moden. Kami dididik tentang peri pentingnya gaya hidup sihat.
Selepas melakukan apa-apa aktiviti atau sebelum makan, wajib mencuci tangan dengan betul, tiada jajan yang dibenarkan di rumah melainkan buah-buahan menjadi snek wajib untuk anak-anak. Itulah yang ditanam dalam diri kami adik beradik.
Menu harian dirumah juga banyak sayur-sayuran dan ikan. Daging dan ayam hanya seminggu sekali. Ayam yang dicucuk tidak sihat kata bapa. Tiap kali kami mempersoalkan kenapa, mama dan bapa pasti ada hujah mereka. Kami mengalah dan patuh dengan rela.
Di sekolah juga kami tidak dibenarkan membeli air di kantin. Kata mama, bimbang air yang dijual tidak dimasak dengan sempurna dan terdedah kepada lalat dan habuk. Begitu teliti kami dijaga. Bekal ke sekolah disediakan oleh mama sendiri atau pembantu rumah.
Paling saya ingat hingga ke hari ini, setiap kali cuti sekolah kami tidak sabar untuk pulang ke rumah Tok. Di sana, kami dapat nikmati roti canai, sate dan ais kacang dengan sepuasnya.
Nak tahu kenapa? Aha, ais kacang, roti canai dan sate adalah antara makanan yang bapa larang kami makan di luar.
Tegas bapa, ketiga-tiga makanan tersebut kebanyakannya disediakan dengan kurang menitikberatkan aspek kebersihan.
Daging sate di picit-picit, ais kacang dikepal tanpa sarung tangan dan roti canai ditebar sambil peluh dikesat. Gambaran dalam penceritaan bapa buat kami lupa seketika niat menikmati makanan kegemaran tetapi kembali lupa diri bila berada di kampung.
Berdasarkan latar belakang belakang keluarga dan cara didikan mama dan bapa, ternyata ibubapa kami juga sangat teliti dalam soal pendidikan anak-anak.
Kami sering didedahkan dengan cerita-cerita kejayaan ahli keluarga. Ada yang melanjutkan pengajian ke luar negara, ada yang berjaya menyandang jawatan-jawatan profesional dan ramai juga yang bekerja sebagai penjawat awam.
Berniaga dan bekerja sendiri bagaimana? Usah ditanya tentang perniagaan. Saya tidak mampu menjawab sama sekali jika ditanya pada waktu itu. Saya hanya tahu, Nabi S. A.W menganjurkan pernigaan kerana dikatakan 9/10 daripada sumber rezeki adalah dengan berniaga.
Segala-galanya berubah 360° pada tahun 2013. Ditakdirkan berjodoh dengan suami yang sangat meminati bidang perniagaan, saya sedikit demi sedikit mula terkena tempiasnya.
Nak tahu jalan cerita selanjutnya? Ikuti sambungan dalam entri seterusnya.
Di Rumah Biskut kami di Park Avenue, Taman Tampoi Indah 2, Johor Bahru. |
No comments:
Post a Comment