Teks : Azne Omar
Foto : Koleksi Peribadi Azne Omar
Foto : Koleksi Peribadi Azne Omar
Dilahirkan pada tahun 1981 di Kulim, Kedah, saya adalah anak sulung dan anak perempuan tunggal kepada pasangan Omar Othman dan Rodziah Ismail.
Merupakan cucu sulung bagi pasangan Habesah Md Zain dan Ismail Talif, perwatakan tegas sudah sebati dalam diri sejak kecil lagi. Dek kerana pangkat kakak yang disandang dalam kedua-dua buah keluarga kecil dan keluarga besar kami, sifat itu terbawa-bawa hingga ke alam dewasa.
.
Mendapat pendidikan awal di Taski Abim (taman asuhan kanak-kanak) selama dua tahun di Sungai Petani, saya memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Petani.
Selepas tamat darjah 6 di sana, pengajian sekolah menengah masih di Sungai Petani selama tiga tahun, iaitu dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3 di Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Petani Kedah.
.
Tamat tingkatan 3 dengan memperoleh keputusan 8A dalam PMR, saya seorang yang bercita-cita tinggi, sangat berharap dapat melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara. Akibatnya, tawaran ke sekolah berasrama penuh saya tolak mentah-mentah kerana yakin bakal menerima tawaran ke sekolah idaman hati.
.
Dipendekkan cerita, hati ini gundah gulana dan sedikit menyesal dengan tindakan terburu-buru itu. Akhirnya, keputusan untuk menerima pelawaan menyambung tingkatan 4 di Sekolah Menengah Sultanah Asma, salah sebuah sekolah kluster ternama di negeri Kedah telah saya pasak dalam-dalam. Nekad tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Hanya mampu bertahan selama dua bulan disana akibat 'homesick',saya kembali ke Sungai Petani dan menyambung persekolahan tingkatan 4 & tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim. Rupanya, rezeki tetap di Sungai Petani bersama keluarga tercinta. Belum cukup kuat untuk berpisah dengan mereka.
.
Selepas tamat SPM pada tahun 1998, saya ke Langkawi pula selama 3 semester, menyambung pengajian dalam Matrikulasi Sains Hayat tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum layak melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (Am) di Universiti Tun Hussein Onn di Batu Pahat, Johor.
Aturan Allah sangat cantik dan rapi. Rupanya, kehadiran saya di bumi Johor bukan setakat 4 tahun, tetapi kekal hingga ke hari ini kerana ditakdirkan bertemu jodoh dengan suami yang lebih senior di sana dan beliau berasal dari Johor Bahru.
.
Kami hanya serius berkawan selama 6 bulan selepas tamat pengajian dan selepas itu terus mengikat tali pertunangan selama 5 bulan sebagai persediaan melangsungkan ikatan perkahwinan yang sah.
.
Menjejak ke tangga 9 tahun sebagai suami isteri pada tahun ini, kami bahagia disamping dua orang penyeri rumahtangga yang kami namakan Muhammad dan Ahmad.
Alhamdulillah, hajat untuk berkongsi catatan perjalanan hidup akhirnya tercapai hari ini.
Nantikan sambungan Jurnal Azne Omar dalam entri seterusnya.
Oyasuminasai(selamat malam)
.
Che Puan Azne(CPA)
.
Che Puan Azne(CPA)
No comments:
Post a Comment